KUALA LUMPUR: Seramai 8,363 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 mula menduduki temuduga bagi memperoleh biasiswa Program Ijazah Luar Negara (PILN) tahun ini. Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dalam kenyataannya, berkata sesi temuduga selama lima hari yang akan berakhir esok itu diadakan secara serentak di 18 pusat temuduga seluruh negara. Notis panggilan temuduga sudah dikeluarkan secara dalam talian di Portal JPA mulai 25 Mac lalu.
Kesemua calon akan dinilai oleh panel temuduga yang terdiri daripada 232 pegawai kanan daripada pelbagai bidang dalam perkhidmatan awam dan keputusan tawaran PILN dijangka dapat diketahui Mei ini. Menurut kenyataan itu, JPA menawarkan 2,000 biasiswa bagi sesi PILN tahun ini, dan sejak dibuka untuk permohonan pada 12 hingga 18 Mac lalu sebanyak 15,084 permohonan sudah diterima. - Bernama


No comments:
Post a Comment