Friday, June 19, 2009

Semudah beli ubat sakit kepala


APA sudah jadi? Obses untuk menjadi ‘wanita’, golongan lelaki lembut dan mak nyah kini mengamalkan makan pil pencegahan kehamilan yang melambak di pasaran kerana didakwa boleh membentuk tubuh mereka seperti ‘wanita’.
Tanpa menghiraukan nyawa dan kesihatan diri, golongan tersebut terpengaruh dengan dakwaan bahawa ubat-ubat tersebut mampu merealisasikan impian mereka menjadi wanita.
Amalan buruk itu bukan sahaja membimbangkan masyarakat tetapi juga pakar-pakar kesihatan kerana ia sebenarnya memudaratkan kesihatan mereka.
Wartawan NORAINI NORDIN bersama jurufoto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH, HARUN OSMAN dan AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN meninjau pasaran ubat-ubat tersebut yang didapati boleh dibeli secara bebas di kebanyakan farmasi-farmasi dan kedai ubat di negara ini semudah membeli ubat sakit kepala.
Lebih mengejutkan lagi, ubat- ubat berkenaan turut dijual secara terbuka di pasar malam dan kaki lima oleh warga asing bersama ubat-ubat tradisional.
Di bawah Akta Racun 1952, ubat-ubat pencegah kehamilan diklasifikasikan dalam Kumpulan C iaitu ubat yang dikawal rapi dan perlu mematuhi Seksyen 24 Akta Racun 1952 yang mewajibkan ia direkodkan dalam Buku Preskripsi sebelum dibekalkan kepada pengguna.
Persoalannya, sejauh mana undang-undang itu digeruni? Risiko penggunaanya terhadap kesihatan dan adakah penguatkuasaan mampu mengawal lambakan ubat-ubat tersebut?
KUALA LUMPUR 14 Jun – Semudah membeli ubat sakit kepala. Begitulah bebasnya penjualan dan pembelian ubat-ubat pencegah kehamilan di kebanyakan farmasi dan kedai ubat di negara ini.
Lebih buruk lagi, ubat-ubat tersebut juga dijual secara terbuka di pasar-pasar malam dan kaki-kaki lima oleh warga asing.
Sedangkan, ubat-ubat tersebut tertakluk di Bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 yang diklasifikasikan dalam Kumpulan C iaitu ubat yang dikawal rapi dan perlu mematuhi Seksyen 24 Akta Racun 1952 yang mewajibkan ia direkodkan dalam Buku Preskripsi sebelum dibekalkan kepada pengguna.
Jika peraturan itu tidak dipatuhi, denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.
Pemantauan Utusan Malaysia selama dua minggu di sekitar ibu kota mendapati peraturan tersebut langsung tidak digeruni ahli-ahli farmasi yang bertugas di farmasi-farmasi atau di kedai-kedai ubat berlesen.

No comments: